Monday 28 March 2011

Tembok Penghadang Maksiat : Adab-Adab Berikhtilat

Allah itu Maha Mengetahui, menciptakan makhluknya berpasang-pasangan dan begitu juga manusia yang terdiri dari Adam dan Hawa. Fitrah jua Adam dan Hawa ini mempunyai perasaan diantara satu sama lain, berkeinginan diantara satu sama lain seperti ion positif dan negetif yang menarik diantara satu sama lain. Sedarkah kita ini semua sebahagian dari anugerah dan nikmat Allah kepada kita.

Cuba kita imbau kembali ketika mula-mula manusia diciptakan iaitu ketika penciptaan Nabi Adam a.s. Walaupun Nabi Adam a.s. tinggal di syurga dengan dilimpahi kesenangan tetapi fitrah manusia inginkan yang berteman dan ingin mengisi kesunyiaan. Justeru, dengan belas kasihan dari Allah, Allah menciptakan Hawa sebagai teman Adam a.s.

Namun dewasa ini, ramai anak-anak muda yang menyalahgunakan anugerah dan nikmat Allah itu. Melampaui batasan syariat yang ditetapkan oleh ajaran Islam. Cuba bayangkan sekiranya, Allah menarik nikmat tersebut dari kita, nikmat mengasihi dan menyayangi antara Adam dan Hawa. Pasti masing-masing mengalami kesunyiaan dan kesedihan melalui kehidupan bersendirian.

Tetapi Allah S.W.T itu bersifat Ar-Rahim, Dia tak pernah berlaku kejam keatas hambanya. Sentiasa melengkapkan hidup hambanya dengan kesempurnaan. Itulah kebesaran Ya Rabb. Walaubagaimana pun, dalam kelonggaran yang Allah berikan kepada umatnya, ada syariat yang digariskan oleh Allah dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan atau dipanggil ikhtilat.

Dalam erti kata lain Islam menggariskan adab-adab pergaulan antara lelaki dan perempuan. Namun itu bukan bererti Islam menghalang pergaulan antara leleki dan perempuan tetapi sebenarnya menyediakan garis panduan untuk lelaki dan perempuan yang bukan muhrim berhubung serta apa jenis keadaan-keadaan yang dibenarkan lelaki dan perempuan bukan muhrim berhubung. Malahan dalam menjaga ikhtilat lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, Islam mensyariatkan perkahwinan.

Walau bagaimanapun, terdapat jua anak muda pada masa kini yang cukup berani dengan menafikan keagungan syariat yang ditetapkan Allah S.W.T. dengan menganggap Islam itu ketinggalan zaman dek kerana Islam melarang sentuhan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim, melarang kita mendekati zina iaitu budaya bercouple, melarang lelaki dan perempuan bukan muhrim ditempat gelap serta sunyi dan melarang pergaulan bebas ala-ala barat  antara lelaki dan perempuan bukan muhrim.

Kesedihan terdetik dihati ini tika melihat pemuda pemudi Islam yang kian hilang jati diri mereka. Tahukah kalian kenapa Allah S.W.T. melarang kita bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, melarang kita bercouple, melarang  lelaki dan perempuan bukan muhrim berdua-duaan ditempat gelap dan sunyi, dan melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan? Kerana satu, kerana Allah sayangkan kita, Allah ingin menjaga kita, menjaga hasil ciptaanNya. Tiada pencipta yang tak sayangkan hasil ciptaannya. Malahan tika Allah melarang lelaki dan perempuan bukan muhrim bergaul bebas, Allah sebenarnya menjaga kita dari perkara-perkara haram seperti hubungan luar nikah, mengelakkan kelahiran anak luar nikah dan seterusnya menjaga nasab keturunan anak-anak Adam.

Indah bukan, syariat Allah S.WT. dalam menjaga kita. Jadi, apa salahnya kita sebagai hasil ciptaanNya menurut syariat yang ditetapkan. Hanya perlukan sedikit komitment dan kesabaran dalam perlaksanaan, kita pasti akan jadi yang terbaik disisi Pencipta kita iaitu Ya Rabb.

Dan sedarlah wahai teman-temanku sekalian, hanya dengan sedikit sentuh-menyentuh, tampar-manampar, cubit-mencubit dan cuit-mencuit antara lelaki dan perempuan bukan muhrim, sudah mampu menggoyah iman yang tersemat dihati. Inikan pula berdua-duaan ditempat yang gelap dan sunyi yang pasti mengundang yang ketiga iaitu syaitan yang sentiasa berhasrat melalaikan anak-anak Adam. Yang akhirnya membawa kepada zina dan melahirkan insan yang tidak bersalah iaitu anak kecil yang bukan dari ikatan yang halal. Dan seterusnya merosakkan nasab keturunan. Alangkah sedih sekiranya kita belum sedar dan belum ada keinginan ingin mengubahnya.

Muhasabahlah kembali diri kita supaya kita masih didalam landasan dan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kembalilah kita kepada Pemilik kita iaitu AllahS.W.T. supaya tiada penyesalan dikemudian hari. Masih belum terlambat untuk menghargai masa-masa di usia muda dengan mendekatkan diri kepada Cinta Allah S.W.T.

Wallahua'alam.

Saturday 26 March 2011

Pemilik Cinta Agung

Cinta,
Ada apa dengan cinta sehingga membuat jiwa menjadi tidak keruan, dibelengu dan hilang perimbangan. Tapi cinta juga mampu memberikan sejuta kebahagiaan dan ketenangan.Cinta oh cinta. Datangnya seperti ombok yang menghempas pantai. Mampu merubah bentuk dan keaadaan pantai. Sama ada dari sempurna kepada tidak sempurna atau dari tidak sempurna kepada sempurna.

Begitulah kehebatan cinta. Namun alangkah indahnya kehebatan cinta ini diletakkan kepada pemilik yang sebenar. Kepada Dia, Ya Rabb. Ramai yang tidak pernah cuba meraih cinta abadan abada dari Ya Rabb sepertimana yang pernah dilakukan oleh wanita sufi, Rabiatul Adawiyah. Siapakah Rabiatul Adawiyah?

Rabiatul Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangan harus dicontohi oleh wanita islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya di memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.

Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama tapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya dia akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa disamping ayahnya hinggalah dia dewasa, apabila ayahnya meninggal dunia. Dia menggantikan tempat ayah sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.

Suatu hari timbul kesedaran di hatinya merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohon doa kepada Allah.

Di dalam kegelapan biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyiksanya kemudia raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.

Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumah telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat. Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul Adawiyah.

Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikam Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan meminta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.

Pada masa yang sama diluar kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang disebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada orang yang memintanya.

Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia membuat sebuah mahligai yang indah. Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang ditenuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok Rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui kekasihnya.

Seringkas cerita tentang pengabadiaan diri Rabiatul Adawiyah kepada Ya Rabb. Indahnya bercinta dengan Ya Rabb hanya mampu diungkap oleh seseorang yang sering mencari dan mengharapkannya. Dan kemanisannya hanya dapat dirasai oleh insan yang berjaya memilikinya. Jadi, kepada sesiapa yang ingin merasai kemanisan cinta bersama Ya Rabb, jangan buang masa lagi, belum terlambat untuk memiliki cinta Ya Rabb. Renug-Renugkan dan selamat beramal.

Friday 25 March 2011

Apabila Permata-Permata Mula Memancarkan Kilauan

Hatiku membunga kegembiraan apabila melihat kawan-kawan dan sahabat karibku melangkah ke gerbang kejayaan dan kebahagian masing-masing. Masing-masing sedang sibuk merancang pelayaran kehidupan. Menjadi nakhoda kepada bahtera masing-masing.

Hampir 5 tahun meninggalkan zaman persekolahan, memahatkan sejuta kenangan terindah dalam hidupku. Gelak tawa, suka duka dan gurau senda mengajar aku erti kehidupan. Rindunya yang pasti ada pada suasana dan keindahan dibangku sekolah. Walaupun mustahil untuk kembalikan masa, tetapi itu semua pasti akan dibingkaikan di dalam album hidupku.

Apa yang pasti, batu-batu permata yang kelihatan suram dan tiada kilauan, telah berjaya digilap oleh guru-guru. Impian guru-guru yang dahulunya hanya suatu angan membentuk anak bangsa, hampir kepada klimaksnya dan boleh diibaratkan seperti pokok padi yang hampir kepada tuaian hasilnya. 

Moga tuaian yang bakal dihasilkan ini mampu memajukan agama jua. Biarlah permata-permata ini menjadi permata-permata kelas pertama, bukan kedua, ketiga atau seterusnya. Kerana permata-permata ini juga akan mencorakkan anak-anak bangsa yang akan datang. Walaupun permata-permata ini berada didalam landasan yang berlainan tetapi masih berpaksikan satu matlamat iaitu kerana Allah. 

Sebarkan ilmu yang kita ada kepada generasi yang akan datang dan bimbinglah generasi akan datang dengan hikmah seperti mana kita dibimbing. Isikan juga dada-dada generasi ini dengan ilmu agama dan bukan hanya ilmu dunia kerana mereka jua bakal menjadi sambungan untaian-untaian ilmu kita.

Dan biar pun ada diantara kita bukan yang melangkah ke universiti, tetapi mereka tetap permata-permata yang berkilauan selagi mereka mengabdikan diri dengan kehidupan yang benar dan sempurna. Malah, selagi mereka mampu berbakti kepada agama, mereka tetap kilauan permata-permata disisi masyarakat. 
 
Sedikit pengharapan di akhir coretan, biarlah kita menjadi permata-permata yang bukan sekadar hiasan tetapi juga sebagai manfaat kepada orang sekeliling. Warisan terbaik dalam sejarah manusia adalah ilmu kerana ilmu itu pasti takkan hilang dan pasti takkan habis serta takkan reput ditelan zaman. 

"Selamat Menjadi Permata-Permata yang Terbaik"







 


Thursday 24 March 2011

Sulaman Cinta

Sulaman cinta diantara hati-hati manusia adalah sebuah fitrah yan pasti. Hanya sulaman cinta itu belum ketemu tempat yang sesuai untuk disulamkan. Sekiranya sulaman itu dianyam diatas tempat yang sesuai dan dengan kaedah yang betul, pasti hasilnya akan menjadi cantik dan indah dipandang mata.

Tapi kadang-kadang rasa cinta  ini disulam di tempat yang salah dan tersasar dari perancangan sulaman yang sebenar. Tanpa kita sedari, hasilnya kehilangan seri dan tak enak dipandang. Alangkah sedihnya jika semua ini terjadi.

Kerana rasa cinta itu sesuatu yang suci dan tulus. Justeru, secara praktikal, rasa cinta  itu seharusnya dipelihara dengan baik kerana cinta itu satu perasaan yang sukar diterjemahkan dalam bait-bait tulisan atau perkataan. Hanya pemilik sulaman cinta dan sayang dapat merasai keindahan dan kemanisannya.

Kerana cinta mampu mengubah duri menjadi mawar, mengubah cuka menjadi anggur, mengubah sedih menjadi riang, mengubah amarah menjadi ramah, mengubah musibah menjadi muhibbah. Malahan sekalipun cinta itu telah diuraikan dan dijelaskan panjang lebar, namun jika cinta itu melanda, kita menjadi malu dengan keterangan sendiri, dan meskipun lidah mampu menguraikannya namun tanpa lidah, cinta kelihatan lebih terang, sementara pena tergesa-gesa menuliskannya. Begitulah hebatnya cinta dalam diri manusia.

Moga kita mampu mencari tempat sulaman terbaik bagi menyulam keindahan cinta yang kita ada.

Wednesday 23 March 2011

Ada apa dengan Islam?


 ' Tak kenal maka tak cinta'. Satu ungkapan peribahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Cinta hadir bila kita megenali dan menghayati sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Dalam bahasa mudah, sekiranya kita mencintai dan menyayangi seseorang, kita pasti akan mendalami dan memahami diri yang empunya diri tersebut. Dan begitulah juga memupuk rasa cinta terhadap agama yang dianugerahkan oleh Allah kepada umat Muhammad S.A.W iaitu agama Islam.

Namun kini, ramai yang hanya Islam pada nama dan keturunan. Apa itu Islam pada nama dan keturunan? Islam pada nama dan keturunan ialah seorang manusia yang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam. Apa yang dimaksudkan dengan ajaran Islam? Ajaran Islam ialah semua perkara yang diperintah oleh Allah dan dilarang Allah seperti solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, menutup aurat dan segala perkara yang termaktub didalam kalam Allah iaitu Al-Quran dan As-sunnah.

Kenapa keadaan sebegini boleh terjadi? Jawapannya mudah, Apabila Islam dijadikan 'part time' dalam hidup manusia, penghayatan ilmu Islam menjadi kurang dan membawa kepada kelalaian dari segi perlaksanaan. Dan selalunya juga manusia sering menjadikan kesibukan dunia sebagai alasan meninggalkan ajaran Islam. Sedangkan Islam itu sentiasa mempermudahkan umatnya dan tidak pula membebankan. Contoh paling mudah , perlaksanaan solat 5 waktu yang seringkali diabaikan umat masa kini dengan hanya beralasan 'busy'. Busy sangat ke kita sehingga meninggalkan syariat Allah. Sekiranya diikutkan kita hanya memerlukan minimum 5 minit solat pada setiap waktu dan jumlah keseluruhan bagi sepanjang hari ialah 25 minit dari 1440 minit. Islam juga sentiasa memberi rukhsah iaitu kemudahan kepada umatnya dan sebagai contoh sekiranya kita dalam perjalanan yang melebihi 2 marhala iaitu melebihi 91 kilometer atau 56 batu, kita diizinkna menjama' dan qasarkan solat. Bukankan itu dah menunjukkan betapa indahnya Islam.

Masih kurang jelas tentang keindahan Islam. Kita pergi ke perkara yang lebih dekat dgn kita terutama sekali kepada wanita. Kenapa Allah mensyariatkan wanita menutup aurat? Masih relevankah menutup aurat pada masa kini? Tidakkah dipandang kolot menutup aurat? Pelbagai persepsi dan persoalan yang diwujudkan oleh syaitan dalam diri manusia yang bertujuan membawa manusia ke lembah dosa dan keengkaran. Sebenarnya, setiap apa yang Allah syariatkan pasti ada hikmah dan kebaikan. Terutama tentang aurat wanita. Allah menciptakan Hawa dengan begitu indah dan berharga serta sebaik-baik hiasan dunia ialah wanita solehah. Secara logik, kalau kita mempunyai barang perhiasan yang paling indah dan berharga, adakah kita akan mendedahkan di tempat terbuka. Sudah tentu tidak. Kita pasti akan simpan di tempat yang tertutup dan dilindungi dengan baik. Begitulah juga aurat wanita, di mana Allah mensyariatkan supaya ditutup untuk memelihara kehormatan wanita dari perkara-perkara yang boleh merosakkan keindahan wanita tersebut. 

Selain itu, syariat dituntutkan zakat kepada setiap umat Islam yang mampu ada hikmah dan kebaikannya. Yang paling mudah dapat kita lihat ialah, dapat menegelakkan kadar kemiskinan dan dapat mengurangkan masalah sosial seperti mencuri. Malahan, masalah sombong dan takhbur di kalangan orang yang kaya dapat dielakkan.

Terlalu banyak jika hendak disenaraikan keindahan syariat Islam dalam melengkapi hidup umat manusia. Jika kita hayati Islam secara menyeluruh, kita akan melihat bahawa Islam itu menganjurkan satu cara hidup yang sempurna  kepada kita kerana dari sekecil-kecil hal sehingga ke sebesar-besar hal pasti ada syariat yang telah digariskan didalam Al-Quran dan As-sunnah. Dan dalam fiman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah setan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu".

Suruh Al-Baqarah:208

*Keindahan Islam hanya dapat dirasa sekiranya kita melaksanakan sepenuhnya syariat Islam dalam kehidupan seharian kita.

Wallahua'lam.


Pengurusan Hartanah: Pengurusan dan Penyelenggaraan Timbangan Amal

Apa yang ada disebalik pengurusan hartanah dan Islam?
Pengurusan Hartanah ialah satu bidang ilmu yang mengajar manusia tentang bagaimana menguruskan, menyelenggara, meningkatkan potensi hartanah dan menggunakan hartanah sebagai sumber keuntungan serta pendapatan. Manakala hartanah boleh didefinisikan sebagai bangunan kekal atau separa kekal yang berada diatas serta bawah paras laut dan diatas serta bawah permukaan tanah. Antaranya ialah bangunan pejabat, bangunan perumahan, bangunan komersial, loji penapisan minyak dan bagunan institusi. 

Seringkas kisah tentang sebuah ilmu dunia. Ilmu dunia itu satu kelebihan kepada setiap manusia tetapi sekiranya ilmu ini diaplikasi untuk saham akhirat, kan lebih baik dan menguntungkan. Dan seringkali itu, pelbagai  persoalan akan berlegar-legar diruang fikiran kita. Macam mana nak seiringkan urusan dunia dengan akhirat? Bolehkah ilmu dunia di aplikasi dalam ilmu akhirat? Mampukah aku melakukan kedua-dua urusan itu serentak?

Namun pada hakikatnya tiada suatu benda yang mustahil kita lakukan melainkan sejuta alasan yang menjadi tembok halangan kepada kita untuk melaksanakannya. 

Antara contoh yang dikira sesuai untuk dikongsi dalam kehidupan seharian ialah pengurusan hartanah dan ukuran timbangan amal. Cuba kita bayangkan hartanah itu sebagai amal kita, kerana sudah pasti kita akan cuba menyelenggara dan  menguruskannya dengan cara yang betul kerana hartanah yang baik akan menghasilkan keuntungan dan pendapatan yang lumayan. 

Begitu juga dengan amal yang kita laburkan sepanjang hayat ini pasti akan membuahkan hasil dan keuntungan. Malahan keuntungan yang kita perolehi itu lebih bermakna dan mampu mendapat pulangan dari Allah S.W.T  dalam bentuk yang tak terjangkau dek akal fikiran manusia. Jadi bagaimana kita nak menyelenggara amal kita supaya sentiasa dalam keadaan baik dan boleh memberi pulangan yang maksimum. Antara tip-tipnya:

  • Pertama: Kenalpasti jenis ama-amal yang mampu kita laburkan  secara konsisten contoh bersedekah, puasa sunat, solat-solat sunat, dan membaca al-quran kerana komitment dan disiplin dalam melakukan amal didunia merupakan modal yang sempurna dalam pelaburan saham yang diperuntukan oleh Allah.
  •  Kedua: Pastikan amal-amal yang dipilih sebagai pelaburan diselenggara dengan baik dan diurus dengan sistematik seperti menyelenggara  sunat dhuha secara teratur dan sempurna kerana amal yang diselengera dengan baik akan mendapat dividen yang tinggi dari Allah S.W.T.
  • Ketiga: Pastikan segala kerosokan dan kebocoron amal dikenal pasti sekiranya ada. Contoh, kegagalan untuk melaksanakan puasa sunat atau wajib secara telus dan sempurna perlulah dibaiki dan ditingkatkan. Hal ini kerana, amal yang mampu melahirkan kemanisan iman yang tidak dijual di kedai-kedai coklat.
  • Keempat: Terakhir sekali, pastikan amal yang dipilih dilaburkan di tempat yang betul iaitu, berniatlah kerana Ilahi kerana sekecil-kecil amal yang diniatkan kerana Allah, akan dimasukkan ke dalam neraca timbangan kita.
 Sesungguhnya pelaburan amal yang kita laburkan didunia merupakan pendapatan kita untuk membeli tiket ke syurga. Wahai sahabat-sahabat yang dikasihi, rebutlah peluang-peluang pelaburan yang di anugerahkan Allah kepada kita. Sekiranya kita sebagai ejen hartanah mampu mencari peluang mendapatkan keuntungan didunia, apa salahnya luangkan sedikit masa kita merebut peluang yang ditawarkan oleh Allah kepada kita. Malahan peluang yang ditawarkan ini tak perlukan modal, tiada interest dan yang pasti keuntungan kita bakal perolehi pasti berlipat ganda serta  amal-amal itu tiada dijual di papan-papan bursa malaysia. 

Selamat beramal :-)

 "Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, seorang yang professional tanpa iman ibarat kaca yang pasti akan pecah sekiranya mengalami gegaran, tetapi seorang yang professional bersama iman adalah seperti berlian yang utuh walaupun menerima gegaran".





Tuesday 22 March 2011

Bila Ujian Silih Berganti

Ujian itu tanda kasih sayang Sang Pencipta kepada hambanya. Bila kita rasa sedih dan susah hati, pasti kita akan kembali kepadaNya kerana Dia adalah pencipta yang Maha Berkuasa merancang perjalanan hidup para hambaNya. Seluruh pelusuk dunia ini adalah dalam perancangan dan kuasanya. Malah Dia lebih mengetahui apa yang tersirat dan tersurat dalam hidup hambanya. 

Dan sekiranya hari-hari yang sedang berlalu ini sebuah ujian dan ujian ini adalah tanda cinta dan kasih  sayangNya, kita seharusnya ikhlas menerima titipan ujian ini sebab kita perlu yakin setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah dan ada perancangan yang lebih baik disebaliknya.

Malahan sebagai seorang pejuang, tidak layak sekiranya kita  hanya bersenang-lenang dan bersahaja melalui urusan dunia sedangkan Rasulullah, yang tercipta sebagai kekasih Allah, melalui hari-hari dengan penuh mehnah dan tribulasi. Tanpa keluhan dan penyesalan baginda meneruskan perjuangan dalam menyebarkan dan menegakkan yang hak serta menentang yang batil. Kekasih Allah ini sentiasa diuji dari awal kelahirannya hingga tertegaknya daulah islamiyah. Namun, baginda tabah dan sabar dalam memperjuangkan Islam.

Jadi, yakin dan pastilah ujian itu bukanlah rasa benci Sang Pencipta kepada hambaNya tapi rasa kasih dan sayang Allah kepada kita. Ujian juga sesuatu yang manis dan tarbiyah yang terbaik dalam hidup manusia. Berlapang dada dan berhadapan dengan ujian adalah suatu didikan yang berharga dalam mematangkan kita sebagai seorang hamba Allah.

Waallahua'alam.








Kalau Berminat..Jangan Segan nak Klik. Percuma

Commercial Break by Nuffug