Apa yang ada disebalik pengurusan hartanah dan Islam?
Pengurusan Hartanah ialah satu bidang ilmu yang mengajar manusia tentang bagaimana menguruskan, menyelenggara, meningkatkan potensi hartanah dan menggunakan hartanah sebagai sumber keuntungan serta pendapatan. Manakala hartanah boleh didefinisikan sebagai bangunan kekal atau separa kekal yang berada diatas serta bawah paras laut dan diatas serta bawah permukaan tanah. Antaranya ialah bangunan pejabat, bangunan perumahan, bangunan komersial, loji penapisan minyak dan bagunan institusi.
Seringkas kisah tentang sebuah ilmu dunia. Ilmu dunia itu satu kelebihan kepada setiap manusia tetapi sekiranya ilmu ini diaplikasi untuk saham akhirat, kan lebih baik dan menguntungkan. Dan seringkali itu, pelbagai persoalan akan berlegar-legar diruang fikiran kita. Macam mana nak seiringkan urusan dunia dengan akhirat? Bolehkah ilmu dunia di aplikasi dalam ilmu akhirat? Mampukah aku melakukan kedua-dua urusan itu serentak?
Namun pada hakikatnya tiada suatu benda yang mustahil kita lakukan melainkan sejuta alasan yang menjadi tembok halangan kepada kita untuk melaksanakannya.
Antara contoh yang dikira sesuai untuk dikongsi dalam kehidupan seharian ialah pengurusan hartanah dan ukuran timbangan amal. Cuba kita bayangkan hartanah itu sebagai amal kita, kerana sudah pasti kita akan cuba menyelenggara dan menguruskannya dengan cara yang betul kerana hartanah yang baik akan menghasilkan keuntungan dan pendapatan yang lumayan.
Begitu juga dengan amal yang kita laburkan sepanjang hayat ini pasti akan membuahkan hasil dan keuntungan. Malahan keuntungan yang kita perolehi itu lebih bermakna dan mampu mendapat pulangan dari Allah S.W.T dalam bentuk yang tak terjangkau dek akal fikiran manusia. Jadi bagaimana kita nak menyelenggara amal kita supaya sentiasa dalam keadaan baik dan boleh memberi pulangan yang maksimum. Antara tip-tipnya:
- Pertama: Kenalpasti jenis ama-amal yang mampu kita laburkan secara konsisten contoh bersedekah, puasa sunat, solat-solat sunat, dan membaca al-quran kerana komitment dan disiplin dalam melakukan amal didunia merupakan modal yang sempurna dalam pelaburan saham yang diperuntukan oleh Allah.
- Kedua: Pastikan amal-amal yang dipilih sebagai pelaburan diselenggara dengan baik dan diurus dengan sistematik seperti menyelenggara sunat dhuha secara teratur dan sempurna kerana amal yang diselengera dengan baik akan mendapat dividen yang tinggi dari Allah S.W.T.
- Ketiga: Pastikan segala kerosokan dan kebocoron amal dikenal pasti sekiranya ada. Contoh, kegagalan untuk melaksanakan puasa sunat atau wajib secara telus dan sempurna perlulah dibaiki dan ditingkatkan. Hal ini kerana, amal yang mampu melahirkan kemanisan iman yang tidak dijual di kedai-kedai coklat.
- Keempat: Terakhir sekali, pastikan amal yang dipilih dilaburkan di tempat yang betul iaitu, berniatlah kerana Ilahi kerana sekecil-kecil amal yang diniatkan kerana Allah, akan dimasukkan ke dalam neraca timbangan kita.
Sesungguhnya pelaburan amal yang kita laburkan didunia merupakan pendapatan kita untuk membeli tiket ke syurga. Wahai sahabat-sahabat yang dikasihi, rebutlah peluang-peluang pelaburan yang di anugerahkan Allah kepada kita. Sekiranya kita sebagai ejen hartanah mampu mencari peluang mendapatkan keuntungan didunia, apa salahnya luangkan sedikit masa kita merebut peluang yang ditawarkan oleh Allah kepada kita. Malahan peluang yang ditawarkan ini tak perlukan modal, tiada interest dan yang pasti keuntungan kita bakal perolehi pasti berlipat ganda serta amal-amal itu tiada dijual di papan-papan bursa malaysia.
Selamat beramal :-)
"Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, seorang yang professional tanpa iman ibarat kaca yang pasti akan pecah sekiranya mengalami gegaran, tetapi seorang yang professional bersama iman adalah seperti berlian yang utuh walaupun menerima gegaran".