Ujian itu tanda kasih sayang Sang Pencipta kepada hambanya. Bila kita rasa sedih dan susah hati, pasti kita akan kembali kepadaNya kerana Dia adalah pencipta yang Maha Berkuasa merancang perjalanan hidup para hambaNya. Seluruh pelusuk dunia ini adalah dalam perancangan dan kuasanya. Malah Dia lebih mengetahui apa yang tersirat dan tersurat dalam hidup hambanya.
Dan sekiranya hari-hari yang sedang berlalu ini sebuah ujian dan ujian ini adalah tanda cinta dan kasih sayangNya, kita seharusnya ikhlas menerima titipan ujian ini sebab kita perlu yakin setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah dan ada perancangan yang lebih baik disebaliknya.
Malahan sebagai seorang pejuang, tidak layak sekiranya kita hanya bersenang-lenang dan bersahaja melalui urusan dunia sedangkan Rasulullah, yang tercipta sebagai kekasih Allah, melalui hari-hari dengan penuh mehnah dan tribulasi. Tanpa keluhan dan penyesalan baginda meneruskan perjuangan dalam menyebarkan dan menegakkan yang hak serta menentang yang batil. Kekasih Allah ini sentiasa diuji dari awal kelahirannya hingga tertegaknya daulah islamiyah. Namun, baginda tabah dan sabar dalam memperjuangkan Islam.
Jadi, yakin dan pastilah ujian itu bukanlah rasa benci Sang Pencipta kepada hambaNya tapi rasa kasih dan sayang Allah kepada kita. Ujian juga sesuatu yang manis dan tarbiyah yang terbaik dalam hidup manusia. Berlapang dada dan berhadapan dengan ujian adalah suatu didikan yang berharga dalam mematangkan kita sebagai seorang hamba Allah.
Waallahua'alam.