' Tak kenal maka tak cinta'. Satu ungkapan peribahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Cinta hadir bila kita megenali dan menghayati sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Dalam bahasa mudah, sekiranya kita mencintai dan menyayangi seseorang, kita pasti akan mendalami dan memahami diri yang empunya diri tersebut. Dan begitulah juga memupuk rasa cinta terhadap agama yang dianugerahkan oleh Allah kepada umat Muhammad S.A.W iaitu agama Islam.
Namun kini, ramai yang hanya Islam pada nama dan keturunan. Apa itu Islam pada nama dan keturunan? Islam pada nama dan keturunan ialah seorang manusia yang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam. Apa yang dimaksudkan dengan ajaran Islam? Ajaran Islam ialah semua perkara yang diperintah oleh Allah dan dilarang Allah seperti solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, menutup aurat dan segala perkara yang termaktub didalam kalam Allah iaitu Al-Quran dan As-sunnah.
Kenapa keadaan sebegini boleh terjadi? Jawapannya mudah, Apabila Islam dijadikan 'part time' dalam hidup manusia, penghayatan ilmu Islam menjadi kurang dan membawa kepada kelalaian dari segi perlaksanaan. Dan selalunya juga manusia sering menjadikan kesibukan dunia sebagai alasan meninggalkan ajaran Islam. Sedangkan Islam itu sentiasa mempermudahkan umatnya dan tidak pula membebankan. Contoh paling mudah , perlaksanaan solat 5 waktu yang seringkali diabaikan umat masa kini dengan hanya beralasan 'busy'. Busy sangat ke kita sehingga meninggalkan syariat Allah. Sekiranya diikutkan kita hanya memerlukan minimum 5 minit solat pada setiap waktu dan jumlah keseluruhan bagi sepanjang hari ialah 25 minit dari 1440 minit. Islam juga sentiasa memberi rukhsah iaitu kemudahan kepada umatnya dan sebagai contoh sekiranya kita dalam perjalanan yang melebihi 2 marhala iaitu melebihi 91 kilometer atau 56 batu, kita diizinkna menjama' dan qasarkan solat. Bukankan itu dah menunjukkan betapa indahnya Islam.
Masih kurang jelas tentang keindahan Islam. Kita pergi ke perkara yang lebih dekat dgn kita terutama sekali kepada wanita. Kenapa Allah mensyariatkan wanita menutup aurat? Masih relevankah menutup aurat pada masa kini? Tidakkah dipandang kolot menutup aurat? Pelbagai persepsi dan persoalan yang diwujudkan oleh syaitan dalam diri manusia yang bertujuan membawa manusia ke lembah dosa dan keengkaran. Sebenarnya, setiap apa yang Allah syariatkan pasti ada hikmah dan kebaikan. Terutama tentang aurat wanita. Allah menciptakan Hawa dengan begitu indah dan berharga serta sebaik-baik hiasan dunia ialah wanita solehah. Secara logik, kalau kita mempunyai barang perhiasan yang paling indah dan berharga, adakah kita akan mendedahkan di tempat terbuka. Sudah tentu tidak. Kita pasti akan simpan di tempat yang tertutup dan dilindungi dengan baik. Begitulah juga aurat wanita, di mana Allah mensyariatkan supaya ditutup untuk memelihara kehormatan wanita dari perkara-perkara yang boleh merosakkan keindahan wanita tersebut.
Selain itu, syariat dituntutkan zakat kepada setiap umat Islam yang mampu ada hikmah dan kebaikannya. Yang paling mudah dapat kita lihat ialah, dapat menegelakkan kadar kemiskinan dan dapat mengurangkan masalah sosial seperti mencuri. Malahan, masalah sombong dan takhbur di kalangan orang yang kaya dapat dielakkan.
Terlalu banyak jika hendak disenaraikan keindahan syariat Islam dalam melengkapi hidup umat manusia. Jika kita hayati Islam secara menyeluruh, kita akan melihat bahawa Islam itu menganjurkan satu cara hidup yang sempurna kepada kita kerana dari sekecil-kecil hal sehingga ke sebesar-besar hal pasti ada syariat yang telah digariskan didalam Al-Quran dan As-sunnah. Dan dalam fiman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah setan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu".
Suruh Al-Baqarah:208
*Keindahan Islam hanya dapat dirasa sekiranya kita melaksanakan sepenuhnya syariat Islam dalam kehidupan seharian kita.
Wallahua'lam.