Hatiku membunga kegembiraan apabila melihat kawan-kawan dan sahabat karibku melangkah ke gerbang kejayaan dan kebahagian masing-masing. Masing-masing sedang sibuk merancang pelayaran kehidupan. Menjadi nakhoda kepada bahtera masing-masing.
Hampir 5 tahun meninggalkan zaman persekolahan, memahatkan sejuta kenangan terindah dalam hidupku. Gelak tawa, suka duka dan gurau senda mengajar aku erti kehidupan. Rindunya yang pasti ada pada suasana dan keindahan dibangku sekolah. Walaupun mustahil untuk kembalikan masa, tetapi itu semua pasti akan dibingkaikan di dalam album hidupku.
Apa yang pasti, batu-batu permata yang kelihatan suram dan tiada kilauan, telah berjaya digilap oleh guru-guru. Impian guru-guru yang dahulunya hanya suatu angan membentuk anak bangsa, hampir kepada klimaksnya dan boleh diibaratkan seperti pokok padi yang hampir kepada tuaian hasilnya.
Moga tuaian yang bakal dihasilkan ini mampu memajukan agama jua. Biarlah permata-permata ini menjadi permata-permata kelas pertama, bukan kedua, ketiga atau seterusnya. Kerana permata-permata ini juga akan mencorakkan anak-anak bangsa yang akan datang. Walaupun permata-permata ini berada didalam landasan yang berlainan tetapi masih berpaksikan satu matlamat iaitu kerana Allah.
Sebarkan ilmu yang kita ada kepada generasi yang akan datang dan bimbinglah generasi akan datang dengan hikmah seperti mana kita dibimbing. Isikan juga dada-dada generasi ini dengan ilmu agama dan bukan hanya ilmu dunia kerana mereka jua bakal menjadi sambungan untaian-untaian ilmu kita.
Dan biar pun ada diantara kita bukan yang melangkah ke universiti, tetapi mereka tetap permata-permata yang berkilauan selagi mereka mengabdikan diri dengan kehidupan yang benar dan sempurna. Malah, selagi mereka mampu berbakti kepada agama, mereka tetap kilauan permata-permata disisi masyarakat.
Sedikit pengharapan di akhir coretan, biarlah kita menjadi permata-permata yang bukan sekadar hiasan tetapi juga sebagai manfaat kepada orang sekeliling. Warisan terbaik dalam sejarah manusia adalah ilmu kerana ilmu itu pasti takkan hilang dan pasti takkan habis serta takkan reput ditelan zaman.
"Selamat Menjadi Permata-Permata yang Terbaik"